"Ingatlah Aku nescaya Aku akan mengingati kamu" (al-baqarah:152)
Berkata Thabit al-Bunani rahimahullah: Sesungguhnya aku mengetahui bila Allah ‘Azzawajalla akan mengingatiku.
Orang ramai bertanya dengan hairannya: Bagaimana kamu tahu semua itu?
Jawabnya: Jika aku mengingatiNya Dia akan mengingatiku.
"Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah Allah dengan ingatan yang sebanyak-banyaknya. (Perbanyakkanlah mengingati Allah)." (al-ahzab:41)
"Apabila kamu bertolak balik dari padang Arafah, hendaklah ingat akan Allah di Masy'aril Haram(nama bukit). Dan ingatlah akan Allah sebagaimana Dia menunjuki kamu. Sesungguhnya kamu sebelumnya termasuk orang-orang yang sesat." (al-baqarah:198)
"Maka apabila kamu telah selesai menunaikan amalan haji, ingatlah akan Allah seperti kamu mengingati bapa-bapamu malah lebihkan lagi mengingatiNya." (al-baqarah:200)
~Hendaklah selalu mengingati Allah~
"Orang-orang yang mengingati Allah ketika berdiri, duduk dan berbaring." (ali-imran:191)
Apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, hendaklah kamu ingat akan Allah waktu berdiri dan duduk dan berbaring (an-nisa’:103)
Allah Ta’ala juga mencela orang munafiq iaitu:
"Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah sedang Allah menipu mereka itu (membalas tipuan mereka itu). Apabila mereka berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas serta riya' terhadap manusia dan mereka tidak mengingati Allah melainkan sedikit sekali." (an-nisa’:142)
Allah ‘Azzawajalla juga menyuruh kita menghormatiNya dalam firmanNya yang lain.
"Dan ingatlah Tuhanmu di dalam hatimu serta merendahkan diri dan takut, dan bukan dengan suara yang keras, ketika pagi dan petang dan jangan kamu termasuk orang-orang yang lalai." (al-a’raf:205)
Sebagaimana mana Allah memberi tahu kita juga,
"Sesungguhnya mengingati Allah lebih besar (faedahnya)." (al-ankabut:45)
“Orang yang menyebut Allah sedang dia lalai sama seperti pohon yang hijau ditengah-tengah pepohonan yang kering”
Dalam hadith qudsi, Allah telah berfirman:
“Aku sentiasa dengan hambaKu setiap kali dia mengingatiKu dan bergerak-gerak kedua bibirnya menyebut namaku”
“Jika hambaKu mengingatiKu dalam dirinya, Aku pasti mengingatinya dalam diriKu. Jika dia menyebut namaKu di hadapan khalayak ramai, Aku akan menyebut namanya dihadapan khalayak yang lebih mulia daripada khalayaknya. Jika dia menghampiriKu sejengkal, Aku akan menghampirinya sehasta, jika dia mendekatiKu sehasta, Aku akan mendekatinya sedepa. Jika dia datang berjalan kepadaKu, Aku akan berlari kepadaNya. Yakni segera menyahut segala permintaannya”
Sabda Nabi s.a.w lagi:
“Tujuh manusia yang akan dinaungi Allah ‘Azzawajalla di hari tiada naungan melainkan naunganNya. Diantara yang tujuh itu ialah orang yang sentiasa menyebut-nyebut nama Allah, bersendirian, lalu mengalir air matanya kerana takut kepada Allah”
Berkata Mu’az bin Jabal r.a:
Penghuni syurga tidak akan meyesal apa pun lagi kecuali pada saat-saat yang berlalu di dunia di mana dia tiada menyebut nama Allah s.w.t
Bersabda Rasulullah s.a.w:
Tiada suatu kaum yang duduk-duduk di majlis di mana mereka menyebut-nyebut nama Allah ‘Azzawajalla melainkan akan dinaungi malaikat, dikelubungi oleh rahmat dan disebutkan mereka oleh Allah Ta’ala kepada sesiapa yang ada disisiNya
~Warisan Rasulullah yang dibahagi~
Daripada Abu Hurairah r.a pada suatu hari dia memasuki pasar seraya berkata:Kenapa aku masih mendapati kamu di sini, sedangkan warisan Rasulullah dibahagi-bahagikan di masjid. Orang ramai ribut apabila mendengar berita itu dari Abu hurairah, lalu mereka beramai-ramai ke masjid dan meninggalkan kerja di pasar. Apabila mereka tiba di masjid, mereka tiada mendapati apa-apa disiti, lalu mereka berkata: Hai Abu Hurairah! kami tidak mendapati warisan yang engkau katakan itu sedang dibahagi-bahagikan di masjid. Tanya Abu Hurairah: Apa yang engkau dapati di sana? Jawab mereka: Kami dapati orang orang ramai sedang duduk berzikir kepada Allah Ta'ala, dan ada pula yang sedang membaca Al-Quran. Berkata Abu Hurairah lagi: Bodoh kamu, bukankah itu warisan Rasullah s.a.w
Wallahu'alam..