Aku bukan Muslimah yang baik..... ketika muslimah lain sibuk membaca dan mentabburi Al-Qur'an, aku sibuk mendengarkan lagu picisan yang tak membuatku semakin dekat dengan-NYA.
Aku bukan muslimah yang baik..... Ketika muslimah lain sedang sibuk menambah hafalan-hafalan ayat-Nya, aku malah asyik menghafal lagu-lagu yang melalaikan aku dari-Nya.
Aku bukan muslimah yang baik..... Ketika muslimah lain makin memanjangkan jilbabnya, aku malah semakin rimas dengan jilbab panjang.
Aku bukan muslimah yang baik..... Ketika muslimah lain sibuk menuntut ilmu-Nya, aku malah sibuk dengan urusan dunia yang membuat jauh jarak dengan-Nya.
Aku bukan muslimah yang baik..... Ketika muslimah lain malu menampakkan wajah dan fotonya, aku malah sibuk meng-upload foto-fotoku agar boleh dilihat semua orang.
Aku bukan muslimah yang baik..... Ketika muslimah lain berusaha menundukkan pandangannya, aku malah sibuk memperhatikan wajah tampan yang bukan mahramku.
Aku bukan muslimah yang baik..... Ketika muslimah lain menjaga hubungan dan jarak dengan lawan jenisnya, aku malah duduk berdekatan dengan lelaki.
Aku bukan muslimah yang baik..... Ketika muslimah lain berbincang tentang hal-hal yang bermanfaat, aku malah membicarakan aib dan kejelekan orang lain.
Aku bukan muslimah yang baik..... Ketika muslimah lain menjaga kata-katanya dengan baik, aku malah sering menyakiti hati orang lain dengan lisanku.
Aku bukan muslimah yang baik..... Ketika muslimah lain belajar untuk terus mempercantik hati dan akhlaknya, aku lebih asyik memperindah fizikalku saja.
Aku bukan muslimah yang baik..... Ketika muslimah lain sedang berpuasa sunnah, aku lebih memilih selalu mengenyangkan perutku.
Aku bukan muslimah yang baik..... Ketika muslimah lain bangun disepertiga malam untuk bermunajat pada-Nya, aku lebih memilih berselimut dan tidur sepuasnya.
Aku bukan muslimah yang baik..... Ketika muslimah lain sibuk untuk berda'wah dijalan-Nya, aku lebih memilih santai dan menonton TV dirumah.
Aku bukan muslimah yang baik..... Ketika muslimah lain sibuk ingin mendapatkan ridha dan cinta-Nya, aku malah sibuk ingin mendapatkan sanjungan dan cinta makhluk-Nya saja.
Aku bukan muslimah yang baik...... Ketika muslimah lain gelisah disaat imannya menurun, aku malah semakin lalai dengan dunia.
Ya.... Aku memang bukan muslimah yang baik, namun aku berharap supaya menjadi seperti muslimah lain yang beristiqomah berjuang untuk mendapatkan cinta-Nya.
Ya Rabb ampuni muslimah yang tidak baik ini, semoga Engkau senantiasa membimbing muslimah tidak baik ini agar menjadi lebih baik dihadapan-Mu....
Diantara wasiat yang paling indah dan berharga adalah seperti yang diriwayatkan oleh abdul malik bin umair Al-Qurasyi. Dia hidup pada abad ke-2 H, orang yang luas ilmu pengetahuannya. Dia meriwayatkan dari Umamah binti harits, seorang wanita yang tersohor memiliki kefasihan lisan, kehalusan bahasa, ketajaman berfikir dan kematangan intelektual. Dimana ia memberikan nasihat kepada puterinya ketika telah berada diambang pintu pernikahan. Melalui untaian kata-kata yang sangat indah, yang layak ditulis dengan tinta emas.
Abdul malik bin Umair berkata "sewaktu Auf bin Muhallim Asy Syaibani, salah seorang tokoh Arab terpandang akan menikahkan puterinya Ummu Iyas dengan harits bin Amr Al-khindi, setelah mempelai dihias untuk dihantar ke calon suaminya. Lalu ibunya; Umamah binti Harits menemuinya seraya berwasiat:
"Wahai puteriku, seandainya satu wasiat diabaikan keranan memandang bahawa seseorang telah beradab atau kerana seseorang berketurunan mulia nescaya engkau lebih utama untuk tidak diwasiatkan. Pesan ini diangkat sebagai peringatan bagi orang yang lalai dan sebagai renungan bagi orang yang berfikir"
"Wahai puteriku, sekiranya seorang wanita tidak memerlukan suaminya lantaran kekayaan orang tuanya dan kebergantungan kepada orang tuanya, nescaya engkau adalah orang yang paling tidak memerlukannya. Tetapi sudah menjadi ketentuanNya bahawa wanita diciptakan untuk laki-laki, begitulah sebaliknya, laki-laki diciptakan untuk wanita"
"Wahai puteriku, beberapa saat lagi engkau akan meninggalkan tanah kelahiranmu, dan kampung halamanmu, menuju ke negeri yang asing bagimu. Untuk mendampingi teman hidup yang engkau belum kenali sebelumnya. Kemudian engkau akan menjadi miliknya dan dia akan menjadi raja bagimu. Mengabdilah engkau kepadanya seperti pengabdian seorang budak, nescaya dia akan menjadi hamba sahaya bagimu."
"Wahai puteriku, ambillah dariku sepuluh perkara yang akan menjadi bekal dan peringatan bagimu:
Pertama dan kedua:
"Dampingilah suamimu dengan rasa puas, dan bekali dirimu dengan banyak mendengar dan mentaatinya. Kerana sesungguhnya dalam kepuasan ada ketenangan, sedangkan dalam banyak mendengar dan taat akan mendatangkan keredhaan Allah"
Ketiga dan keempat:
"kuatkan kepekaanmu pada penciumannya dan cermatilah pandangan matanya. Sehingga dia tidak melihat keburukan sedikit pun darimu, dan dia tidak mencium darimu, melainkan bau wangi yang paling harum. Sesungguhnya celak merupakan sesuatu yang paling baik dari apa yang ada, sedangkan minyak kasturi adalah cairan yang paling harum semerbak, yang didamba oleh semua orang"
Kelima dan keenam:
"Perhatikanlah waktu-waktu makannya dan tenangkanlah waktu tidurnya. Kerana sesungguhnya perihnya rasa lapar menjadi nafsu bergelojak dan tidak nyaman waktu tidurnya mengundang amarahnya"
Ketujuh dan kelapan:
"Jalinkan dan sambunglah hubungan baik dengan kerabat dan keluarganya dan jagalah harta kekayaannya. Kerana menjaga hartanya sebagai bukti penghargaan atas jerih payahnya. Sedangkan menjalankan hubungan baik dan keluarganya, termasuk mengurus suami yang paling baik"
Kesembilan dan kesepuluh:
"Janganlah engkau buka rahsianya dan jangan engkau durhakai perintahnya. Kerana jika engkau buka rahsianya, maka engkau tidak akan selamat dari pengkhiatannya. Dan jika engkau durhakai perintahnya, maka bererti engkau mendidihkan amarah dalam dadanya"
Selanjutnya wahai puteriku...janganlah engkau menampakkan kegembiraan pada saat dia sedang dirundung duka dan janganlah engkau bermuram durja saat dia sedang bahagia. Kerana yang pertama merupakan kelalaian sedangkan yang kedua dapat mengeruhkan suasana hatinya..
"Jadilah engkau orang yang paling mengagungkan dirinya, maka dia akan menjadi orang yang paling memuliakanmu. Dan jadilah engkau orang yang paling mendukungnya, nescaya engkau langgeng bersamanya"
Ketahuilah wahai puteriku... engkau tidak akan pernah sampai pada apa yang engkau sukai darinya, hingga engkau dahulukan keinginannya dari keinginanmu, dan kehendaknya diatas kehendakmu, terhadap segala hal yang engkau sukai dan engkau benci. Semoga Allah menganugerahkan kebaikan kepadamu dan senantiasa menjagamu..Amiin..
Wahai puteriku… Aku seorang bapa yang sedang memasuki usia lima puluh tahun.
Usia muda telah aku lewati aku tinggalkan kenangan, impian, lamunan-lamunan dengan segala ujian-ujian dunia. Dengarlah ucapan dan kata-kataku. Ucapan-ucapan haq yang aku sampaikan secara jelas dan mudah.
Wahai puteriku… Banyak aku menulis, sering juga aku menyeru dan mengajak umat untuk menegakkan akhlak, menjunjung budi pekerti mulia, membanteras segala bentuk kerosakan jiwa dan mengendalikan nafsu syahwat untuk melawan dan membanteras keruntuhan moral.
Semua itu berterusan aku sampaikan, aku tulis dan khutbahkan… sehingga pena yang aku gunakan menjadi tumpul dan lidahku kelu. Namun tetap tiada hasil yang aku perolehi kemungkaran tetap berleluasa tanpa kita mampu untuk membanterasnya.
Di setiap pelusuk negara perbuatan mungkar terus kita temui, semakin banyak dalam pelbagai bentuk. Wanita semakin berani dan tidak malu-malu untuk membuka auratnya. Tubuhnya ditonjol-tonjolkan, pergaulan bebas muda-mudi bertambah menjolok. Semua itu bergerak melanda negara demi negara, tanpa satu negara Islam yang mampu mengelak.
Sebagai contoh negara Syria yang terkenal dengan keserasian akhlak yag sangat ketat menjaga kehormatan diri dengan menutup auratnya, sekarang masya-Allah!! Para wanitanya berpakaian terbuka mempertontonkan lengan dan paha, punggung dan dada. Kita gagal, dan aku kira kita tidak akan berjaya. Tahukah engkau apa penyebabnya? Sebabnya ialah sehingga hari ini kita belum menemui pintu ke arah pemulihan dan kita tidak tahu jalannya
Wahai puteriku, pintu pemulihan ada di hadapanmu. Kunci pintu itu ada di tanganmu. Jika engkau yakin padanya dan engkau berusaha unuk memasuki pintu itu, maka keadaan akan berubah menjadi baik.
Engkau benar puteriku, bahawalah kaum lelakilah yang mula mula melangkah menempuh jalan dosa bukan wanita. Tetapi ingat, bahawa tanpa kerelaanmu dan tanpa kelunakan sikapmu, mereka tidak akan berkeras melangkah laju. Engkaulah yang membuka pintu kepadanya untuk masuk.
Engkau berkata kepada pencuri : “Silakan masuk”…dan setelah engkau kecurian barulah engkau tersedar. Ketika itu barulah engkau berteriak ..”tolong….tolong…aku kecurian.”
Seandainya engkau tahu bahawa lelaki itu adalah serigala dan engkau adalah kambing, pasti engkau akan lari seperti larinya kambing dalam ancaman cengkaman serigala.
Sekiranya engkau sedar, bahawa semua lelaki adalah pencuri, pasti engkau akan berhati-hati dan sentiasa menjaga diri seperti waspada seorang yang kikir terhadap pencuri.
Jika yang dikehendaki oleh serigala dari kambing adalah dagingnya, maka yang diinginkan lelaki adalah lebih daripada itu. Lelaki meinginkan lebih dari sekadar kambing…… dan bagimu lebih buruk daripada kematian kambing itu.
Lelaki menghendaki yang paling berharga darimu… iaitu harga diri dan kehormatanmu. Nasib seorang gadis yang diragut kehormatannya lebih menyedihkan daripada nasib seekor kambing yang dimakan serigala.
Wahai puteriku…. Demi Allah, apa yang dikhayalkan oleh pemuda ketika dia melihat gadis ialah gadis itu bertelanjang dihadapannya tanpa pakaian.
Aku bersumpah lagi: “Demi Allah, jangan percaya terhadap kata kata sebahagian lelaki, bahawa mereka memandangmu kerana akhlak dan adab. Berbicara denganmu seperti sahabat dan apabila mencintaimu hanyalah sebagai teman akrab”.
"Bohong… bohong… demi Allah dia berbohong. Seandainya engkau mendengar sendiri perbualan antara mereka, pasti engkau takut dan ngeri.”
Tidak akan ada seorang pemuda melontarkan senyumannya kepadamu berbicara dengan lembut dan merayu, memberikan bantuan dan layanan kepadamu, kecuali akan ada maksud-maksud tertentu. Setidak-tidaknya isyarat awal bagi dirinya bahawa itu adalah langkah awal.
Apakah sesudah itu puteriku?
Renungkanlah!
(petikan dari http://syauqahwardah1209.blogspot.com/)
Alhamdulillah, Allah telah mengurniakan seorang adik yang sangat cantik kepada akak. Apatah lagi adik mempunyai nama yang sangat indah, mampu meniupkan roh jihad kedalam diri akak. Zainab Al-Ghazali Al-Jubaili, seorang tokoh mujahidah yang mengasaskan Jama'at Muslimat (satu gerakan wanita yang selari dengan Ikhwan Muslimin yang mempunyai method dan matlamat yang sama dengan Ikhwan Muslimin)..seorang tokoh muslimah yang sangat hebat. Tidak hairanlah ayah adik sentiasa menitiskan air matanya jika berbicara tentang Zainab Al-Ghazali Al-Jubaili..Kata ayah adik, Zainab Al-Ghazali Al-Jubaili merupakan wanita yang paling hebat yang pernah ayah adik jumpa. Mungkin juga ayah adik mahu adik menjadi seperti Zainab Al-Ghazali Al-Jubaili...InsyaAllah..
Adikku sayang,
Akak sangat gembira dapat bertemu dengan adik walaupun hanya sekali dan dalam masa yang sangat singkat. Teringat akak pada kata-kata Imam Al-Ghazali "Ukhuwwah itu bukan terletak pada pertemuan, bukan pada manisnya ucapan dibibir tapi, terletak pada ingatan seseorang terhadap saudaranya didalam doanya". InsyaAllah, akak akan sentiasa doakan adik..Akak juga berharap agar kita dapat berjumpa lagi selepas ini.
Adikku sayang,
"cite lah psl adek"..ingat tak kata-kata sapa ni? hehe.. Hmm..sebenarnya, akak pun tak tahu nak cerita pasal apa. Maklumlah, akak tak pandai sangat bercerita..mungkin akak boleh berkongsi sesuatu dengan adik. moga-moga ianya dapat memberi manfaat kepada adik dan juga akak...
Nasihat dari seorang kakak kepada adiknya..
Adikku sayang..
Sungguh pantas masa berlalu meninggalkan kita. Sekarang umur adik dah mencecah 13tahun. Sudah pun remaja.. Semoga adik akan terus membesar dan menjadi seorang muslimah sejati, menjadi bunga agama yang hidup subur di taman Islam..
Ketahuilah adikku, Hidup kita bukan untuk bersuka ria sahaja tapi Allah menjadikan kita dengan tujuan dan matlamat yang besar supaya kita menghambakan diri kepadanya..
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Adz-Dzaariyaat 51:56) Sentiasalah kita ingat akan tujuan hidup kita, walaupun apa pun yang kita lakukan, ianya tidak akan terlepas daripada tugas seorang hamba. Pasaklah dalam diri kita supaya apa yang kita lakukan adalah kerana Allah. Ibadah itu luas, pekerjaan apa sekalipun yang kita buat kalau kita niat kerana Allah, mengikut syariat, melakukan ibadat khas dan bermanfaat kepada diri kita, ianya merupakan ibadah kepada Allah..
Ketahuilah adikku, Setiap perbuatan yang kita lakukan akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah kelak. Jagalah tingkah laku adik sebaik-baiknya..
"Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?" (Al-Mu'minuun 23:115)
Adikku, sedarlah..kita akan kembali kepada Allah selepas ini.. Kutiplah bekal sementara kita masih hidup ini.. Bawalah bekal kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa..
Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa(At-taubah:4) Adikku sayang, Akak rasa setakat ini dulu buat kali ini..InsyaAllah akak akan sambung lagi pada masa hadapan..Semoga adik sentiasa dirahmati oleh Allah..
Rintangan, tentangan , mehnah dan tribulasi sentiasa mendampingi para pejuang yang ingin menegakkan syiar Allah di atas muka bumi ini. Mereka dihamparkan dan disediakan dengan kesakitan, kepenatan, kelelahan, kecewaan dan kesusahan. Mahal harganya, berat tugasnya dan jauh perjalannya untuk bergelar jundullah (tentera Allah) di muka bumi ini. Tapi itu bukanlah alasannya untuk kita berpangku lengan. Beban tugasan dakwah menjadi kewajipan setiap orang. Sejak zaman Rasulullah SAW dan para sahabat lagi, berbagai bentuk rintangan dan halangan telah dilalui. Contohnya:
~ujian yang pertama berbentuk cemuhan dan olok-olok dari musuh-musuh Allah yang tidak menginginkan berkembangnya syiar Islam..
Dan apabila mereka melihatmu (wahai Muhammad), mereka hanyalah menjadikanmu ejek-ejekan (sambil mereka berkata): "Inikah orangnya yang diutus oleh Allah sebagai RasulNya? (Al-Furqaan 25:41)
~selain itu, terdapat juga ujian dalam bentuk tuduhan yang palsu, bahkan apa yang dikatakan itu boleh merosakkan nama baik Islam dan pejuang Islam itu sendiri..
Dan mereka (yang mengingkari kerasulan Nabi Muhammad itu) merasa hairan, bahawa mereka didatangi oleh seorang Rasul pemberi amaran, dari kalangan mereka sendiri. Dan mereka yang kafir itu berkata: "Orang ini adalah seorang ahli sihir, lagi pendusta. (Saad 38:4)
~tidak kurang juga ujian dipenjara, penganiayaan dan pembunuhan. Mereka diusir dari kampung halaman, menjadi orang buangan..
Mereka (mengugut dengan) berkata: "Jika engkau tidak mahu berhenti (daripada menyiarkan agamamu itu) wahai Nuh, sudah tentu engkau akan menjadi dari orang-orang yang direjam!" (Asy-Syu'araa' 26:116)
Firaun berkata: "Demi sesungguhnya! Jika engkau menyembah Tuhan yang lain daripadaku, sudah tentu aku akan menjadikan engkau dari orang-orang yang dipenjarakan". (Asy-Syu'araa' 26:29)
Dan berkatalah Firaun (kepada orang-orangnya): "Biarkanlah aku membunuh Musa, dan biarlah dia memohon kepada Tuhannya (meminta pertolongan)! Sesungguhnya aku bimbang dia akan menukar agama kamu, atau ia menimbulkan kerosakan di muka bumi". (Ghaafir 40:26)
Walaupun terdapat berbagai ancaman yang terpaksa ditempuhi oleh Rasulullah dan para sahabat, mereka tetap yakin dengan janji dan pertolongan Allah..
Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya. (Al-Anfaal 8:30)
~seterusnya ujian yang sangat berat yang terpaksa ditempuhi berupa rujukan, suap, dan kekuasaan yang sentiasa menggoda nafsu duniawi manusia. Ramai yang memilih untuk hidup bersenang-lenang dengan meninggalkan perjuangan. Menjadi golongan yang tercicir di sepanjang jalan dakwah.
Mengenai perjuangan Islam ini, Sayyid Quthub berkata: "Wahai saudara-saudaraku. Jalan dakwah itu dikelilingi oleh hal-hal yang tidak disukai, penuh dengan bahaya, dipenjara, dibunuh, diusir, dan dibuang. Barangsiapa ingin memegang suatu prinsip atau menyampaikan dakwah, maka hendaklah itu semua sudah ada dalam perhitungannya. Dan barangsiapa menginginkan dakwah tersebut hanyalah merupakan temasya yang menyenangkan, kata-kata yang baik, pesta yang besar dan khutbah yang terang dalam kalimat-kalimatnya, maka hendaklah dia menelaah kembali catatan kehidupan para rasul dan para da`i yang menjadi pengikut mereka, sejak dien ini datang pertama kalinya sampai sekarang ini”.
Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.
~Sahabatku..dulu, semalam dan hari ini kau melihat generasi demi generasi menghancurkan kehidupan mereka dengan mengingkari Allah SWT. Lalu kau tunduk kesedihan dan kebuntuan. Kau benar-benar kebingunan dan bertanya "apa yang harus ku lakukan untuk menebus kelelahan umat ini?" Jawabku, "bukankah kau adalah da'i dan mujahid?" Katamu lagi "tapi langkahku terlalu lambat." Jawabku, "kau lambat kerana kau sendiri sibuk dengan urusan dunia mu. Mengejar impian mu sehingga lupa akan hari kebangkitan. Pada hari itu, amalmu terbentang, tubuhmu terbuka..Adakah disana ada bekalmu?" "Pada akhir zaman, orang-orang yang memegang tali perjuangan itu bagaikan menggenggam bara api, andai terus digenggam hancur luluh jiwanya. Namun, andai dilepaskan hancurlah dunia. Jangan takut untuk berjuang kerana orang yang berjuang ini memang dirintangi ujian. Kita hidup untuk perjuangan dan mati untuk kehidupan..SYURGA IDAMAN.."
Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah akan memberi jaminan kepada orang-orang yang keluar (berjuang) di jalan-Nya. Sesungguhnya orang yang keluar untuk berjihad hanya kerana iman dan ikhlas kepada Allah, maka Allahlah yang akan memberi jaminan untuk memasukkannya ke dalam Syurga atau akan mengembalikannya semula ke rumah, beliau juga keluar dengan mendapat pahala atau harta rampasan. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada dalam kekuasaan-Nya. Pada setiap bahagian tubuh yang terluka di jalan Allah akan diperlihatkan oleh-Nya pada Hari Kiamat. Ketika beliau terluka warna darah dan baunya adalah seperti minyak kasturi. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada dalam kekuasaan-Nya, jika peperangan itu memang tidak berat bagi kaum Muslimin, sudah tentu aku tidak akan meninggalkan pasukan yang turut berperang pada jalan Allah tetapi aku sendiri tidak mampu memberikan kenderaan kepada mereka dan keadaan mereka sendiri juga seperti diriku yang tidak mampu. Mereka sendiri sebenarnya masih merasa keberatan dan tidak dapat berangkat bersamaku. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada dalam kekuasaan-Nya. Sesungguhnya aku lebih suka seandainya aku berperang di jalan Allah lalu terbunuh, lalu aku dihidupkan kemudian berperang lagi dan terbunuh, kemudian aku dihidupkan dan berperang lagi dan akhirnya terbunuh lagi..