Sesungguhnya untuk kembali menghayati Islam kita perlu kembali kepada proses awal Tarbiah (pendidikan) Islamiah yang dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W dibawah petunjuk Ilahi. Proses Tarbiah ini perlulah diikuti dalam pembentukan sebuah Ummah Islamiah (pegerakan Islam).
Asas untuk memperbaiki Ummah ialah dengan memperbaiki usrah (keluarga) dan permulaan untuk memperbaiki usrah ialah dengan memperbaiki wanita.
Wanita disebut (mahaguru 'alam), mahaguru yang mula-mula sekali berperanan untuk mendidik generasi kita (atau mana-mana generasi sekali pun). Wanita yang tangan kanannya menghayun buaian dan tangan kirinya bisa menggegarkan dunia. Sehingga ada pepatah mengatakan bahawa wanita itu sungguh mempengaruhi hidup manusia di mana seorang ibu itu memerlukan masa 20 tahun untuk mendidik anaknya tetapi seorang wanita jahat hanya memerlukan masa 20 saat untuk menjatuhkan seseorang.
Sebagai pendidik 'alam ini, setiap wanita Islam perlulah melalui proses Tarbiah Islamiah dan jika tidak terlaksana proses ini maka malanglah generasi Islam kerana mendapat didikan dari wanita-wanita yang tidak mempunyai persiapan Islam.
Oleh itu wanita perlu memahami peranan mereka kerana kesannya amatlah mendalam yang mana ia mampu memperbaiki masyarakat sekiranya dihalakan kesana. Oleh itu setiap daripada kita hendaklah memperbaiki diri dengan mendidik hati sanubari kita semoga mendapat asas untuk memperbaiki keluarga kita serta orang lain dengan Fikrah Islam.
Sebenarnya wanita ini sungguh mendapat tempat yang mulia, ia sentiasa dihormati dan disanjung tinggi oleh Islam. Pengurniaan taraf wanita ini adalah sungguh tercatit dalam Al Quran dan As Sunnah Rasulullah S.A.W.
Daripada Bilal Ibnu Kabbah R.A, katanya; Pada suatu hari aku menyaksikan Rasulullah SAW membuat empat garis di atas batu sambil berkata bahawa wanita yang paling mulia di syurga ialah; Khadijah bt. Khuwailid, Fatimah bt. Muhammad, Mariam bt. Imran dan 'Asiah isteri Firaun.
Inilah sebenarnya ibu kepada ibu-ibu dan juga kepada generasi yang lepas-lepas. Ibu-ibu yang sebenarnya yang mesti kita letakkan ke depan sebagai contoh tauladan dalam rangka kita untuk kembali kepada hakikat Islam. Sebaliknya jika kita lihat kepada masyarakat kita pada hari ini nescaya kita akan dapati mereka tidak mengambil saranan Allah S.W.T dan RasulNya, sebaliknya mengambil saranan hawa nafsu mereka dan juga daripada sumber-sumber lain. Di sinilah kita merasakan masyarakat kita perlu mendapat kesedaran dan mesti cepat-cepat kembali kepada Islam yang suci lagi mulia ini.
Sekian, wassalam.
0 comments:
Post a Comment