TAKWA DAN PERPADUAN ASAS KESELAMATAN DI AKHIR ZAMAN

Bismillahirrahmanirrahim....


Daripada Abi Nijih 'Irbadh bin Sariyah r.a. berkata, "Telah menasihati kami oleh

Rasulullah saw. akan satu nasihat yang menggetarkan hati kami dan menitiskan air kami

ketika mendengarnya, lalu kami berkata, Ya Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat

yang terakhir sekali maka berilah pesanan kepada kami." Lalu baginda pun bersabda,


"Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta

taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba.

Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat

perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan

sunnah para khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Khalifah-khalifah yang mengetahui

kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunah-sunah itu

dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baru (bid'ah) yang diada-adakan,

kerana sesungguhnya tiap-tiap bid'ah itu adalah sesat."


(Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)


Keterangan:


Hadis diatas mengandungi pesanan-pesanan yang sangat berharga daripada Rasulullah

saw. bagi umatnya, terutama bila mereka berhadapan dengan zaman yang penuh dengan

kacau bilau dan perselisihan iaitu seperti zaman yang sedang kita hadapi sekarang ini.

Oleh itu sesiapa yang mahu selamat maka hendaklah ia mengikuti tunjuk ajar yang telah

disabdakan oleh Rasulullah saw. dalam hadis, iaitu:


1) Hendaklah ia menlazimi takwa kepada Allah dalam keadaan apa jua dengan

mengerjakan segala perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya.


2) Mentaati perintah pihak yang menguruskan hal ehwal kaum muslimin walaupun

seandainya mereka terdiri daripada golongan hamba, selama mereka berpegang dengan

Al Quran dan sunnah Nabi saw. dan sunnah-sunnah khulafa Ar Rasyidin, kerana patuh

kepada penguasa yang mempunyai sifat-sifat ini bererti patuh kepada Al Quran dan Hadis

Nabi saw.


3) Berpegang teguh kepada sunnah Nabi saw. dan sunnah para khulafa Ar Rasyidin Al

Mahdiyin (Abu Bakar, Omar, Osman dan Ali r.a.) yang mana mereka telah mendapat

petunjuk daripada Allah Taala, iaitulah berpegang kepada fahaman dan amalan ahli

sunnah waljamaah yang mana hanya penganut fahaman ini sahaja yang mendapat

jaminan selamat daripada api neraka dan yang bertuah mendapatkan syurga pada hari

kiamat nanti.


4) Menjauhi perkara-perkara bid'ah dholalah, iaitu apa jua fahaman dan amalan yang

ditambah kepada agama Islam yang sempurna ini, pada hal tidak ada dalil atau asal dan

contoh dari agama. Sekiranya ada asal atau dalil, maka tidaklah perkara-perkara yang

baru itu dikatakan bid'ah menurut pengertian syarak (bukan bid'ah dholalah) tetapi hanya

dinamakan bid'ah menurut pengertian loghat atau bahasa sahaja (iaitu bid'ah hasanah).


(rujukan dari 40 HADIS TENTANG PERISTIWA AKHIR ZAMAN)

0 comments: